Sabtu, 2 September 2023

Sesat merentasi sempadan ketika tunggang jet ski, dua pelancong mati ditembak

(Gambar fail Daily Mail)

Dua pelancong yang bermain jet ski di Maghribi ditembak mati oleh pengawal pantai Algeria selepas merentasi sempadan maritim antara dua negara Mediterranean itu, dipercayai akibat sesat, lapor media Maghribi pada Khamis.


Bilal Kissi dan Abdelali Merchouer, kedua-duanya warga Perancis-Maghribi, mengambil jalan yang salah dari pusat peranginan pantai Saidia di hujung timur laut Maghribi, kata laman web berita Le360, memetik seorang saksi.


Lelaki ketiga, Smail Snabe, juga warga Perancis-Maghribi turut ditangkap oleh pengawal pantai Algeria dan tampil di hadapan pendakwa raya pada Rabu, lapor Le360.


Terdapat empat lelaki dalam kumpulan itu pada Selasa dan semuanya menaiki jet ski. Mohamed Kissi adalah satu-satunya daripada empat individu itu yang berjaya kembali ke Maghribi dengan selamat, lapor agensi berita AFP.


"Kami tersesat tetapi kami terus berjalan sehingga kami mendapati diri kami berada di Algeria.


"Kami tahu kami berada di Algeria kerana bot hitam Algeria datang ke arah kami dan mereka yang berada di atas menembak kami.


"Mereka membunuh abang dan rakan saya, lima peluru terkena abang, mereka juga menahan rakan saya yang lain," kata Mohamed Kissi.


"Kami tersesat dan kehabisan minyak," katanya, sambil menambah bahawa dia diselamatkan oleh tentera laut Maghribi yang membawanya kembali ke marina Saidia.


Mohamed Kissi menafikan mereka cuba melarikan diri semasa ditemui oleh pengawal pantai, dan mendakwa abangnya telah cuba berbincang dengan pihak berkuasa sebelum dia ditembak.



Sepupu mereka, pelakon Abdelkarim Kissi, telah meminta pihak berkuasa Maghribi untuk membawa kes itu ke mahkamah antarabangsa.


Ketika ditanya mengenai laporan menembak pemain jet ski pada Khamis, jurucakap kerajaan Maghribi, Mustapha Baitas, enggan mengulas.


Sementara itu, tiada maklum balas atau kenyataan dibuat oleh Algeria, susulan kes berkenaan.


Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Algeria dan Maghribi yang diburukkan lagi oleh pertikaian kedua negara terhadap wilayah Sahara Barat.


Sempadan antara dua negara Afrika Utara ditutup sejak 1994, dan Algiers memutuskan hubungan dengan Rabat pada 2021.


Kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang hampir 2,000 kilometer yang menjadi punca ketegangan sejak merdeka daripada penjajahan Perancis. - Sumber DailyMail.


Insiden itu mencetuskan kemarahan di Maghribi selepas seorang nelayan menyiarkan rakaman mayat yang terapung di laut. - Gambar hiasan/Unsplash.


EmoticonEmoticon