Jumaat, 22 September 2023

Ketam masak cili, pelancong Jepun terkejut bil lebih RM3K, wanita itu panggil polis


Terkedu melihat jumlah bil hidangan ketam dimakan di sebuah restoran di Singapura yang mencecah AS$680 (kira-kira RM3,186), pelancong Jepun memanggil polis untuk campur tangan, lapor New York Post pada 19 September 2023.


Wanita itu, Junko Shinba memberitahu pegawai polis, dia dan rakannya tidak dimaklumkan dengan betul mengenai harga sebenar hidangan makanan itu.


Sementara itu, lapor AsiaOne, Shinba memesan hidangan ketam cili terkenal di restoran Seafood Paradise, pada 19 Ogos lalu, selepas disyorkan pelayan premis itu.


Katanya, pelayan itu hanya menunjukkan hidangan ketam berharga AS$20 (RM94) tanpa menjelaskan harga itu sebenarnya untuk 100 gram (g).


"Kami tidak dimaklumkan berapa jumlah berat ketam itu sebelum dimasak," katanya.


Wanita berusia 50 tahun itu berkata, mereka diberikan kira-kira 3,500 g hidangan ketam itu dengan harga mencecah AS$680 (kira-kira RM3,186).


"Kami semua buntu apabila mengetahui makan malam untuk empat orang dewasa menelan belanja sebanyak itu," katanya, dia kemudian meminta pihak Seafood Paradise menghubungi polis.


Menurutnya, kakitangan restoran itu menegaskan tidak mengenakan bayaran berlebihan, malah turut menunjukkan resit daripada pelanggan lain yang memesan hidangan sama.


"Saya turut menghubungi Lembaga Pelancongan Singapura sebelum kes ini dirujuk kepada Persatuan Pengguna Singapura," katanya.


Sementara itu, jurucakap Paradise Group berkata, pihaknya bersetuju untuk memberi diskaun kira-kira AS$78 (RM365) kepada pengadu kerana tidak mahu memanjangkan isu.


Mereka turut menafikan dakwaan wanita itu kononnya tidak dimaklumkan harga sebenar untuk hidangan terbabit. - Sumber New York Post.


Pelancong Jepun menghubungi polis selepas dia terkejut bil cecah AS$680 untuk daging ketam yang dia fikir hanya AS$20. - Foto Junko Shinba.


EmoticonEmoticon