Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki berbadan tegap meraung ketika membuat laporan mengenai kehilangan ayam kesayangannya di balai polis, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian yang dikatakan berlaku di Balai Polis Tebo, Jambi itu dimuat naik dalam akaun TikTok @adi.sudirja.25 pada Sabtu (9/9/2023) dan video tersebut sudah ditonton lebih 11 juta kali.
Dalam video itu, kelihatan dua anggota polis cuba menahan lelaki berbadan tegap itu supaya dia dapat menenangkan dirinya.
"Ayam saya hilang, tuan. Tuan, ayam saya hilang," kata lelaki tersebut dalam keadaan menangis teresak-esak.
"Jangan pegang saya, jangan tenangkan saya. Biar kejadian itu diketahui ramai," tambah lelaki itu.
Selepas diberi air mineral, tangisan lelaki tersebut mula reda dan dia kemudian melaporkan kehilangan ayamnya kepada pegawai polis yang bertugas ketika itu.
"Tolong rekodkan, tuan (laporan). Nama ayam saya Ahmad Saputra, tuan," kata lelaki itu.
Selepas kejadian itu tular, Ketua Polis Tebo, Wayan Arta Ariawan berkata, video tersebut dirakam hasil kerjasama pihaknya dengan seorang lelaki bernama Adi Sudirja.
"Video itu memberi pesanan bahawa Polis Tebo sedia berkhidmat untuk masyarakat dalam apa jua kes tanpa terkecuali," jelasnya. - Sumber DetikSumbagsel.
EmoticonEmoticon