Isnin, 18 September 2023

Kena tarik lepas 3 tahun tak bayar, rider rosakkan motosikal


Aksi agresif penunggang P-Hailing merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, insiden itu berlaku pada 11 September lalu, kira-kira pukul 3.10 petang.


Menurutnya, lelaki itu tendang motosikalnya sendiri sebelum serah kepada ejen tarik kenderaan.


"Pemilik motosikal (penunggang p-hailing) tidak berpuas hati kerana motosikalnya akan ditarik disebabkan mempunyai tunggakan selama 34 bulan.


"Pemuda itu menendang motosikalnya sendiri sebelum diserahkan kepada ejen (yang menarik kenderaan)," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, laporan untuk menarik motosikal tersebut telah dibuat oleh pihak ejen pada hari sama di Balai Polis Brickfield, Kuala Lumpur.


"Setakat ini, tiada kertas siasatan dibuka berhubung insiden tersebut," tambahnya.


Satu rakaman video berdurasi lapan saat tular di media sosial yang memaparkan seorang rider menendang motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hijau miliknya.


Lelaki terbabit yang memakai baju T sebuah syarikat p-hailing dan bertopi keledar menendang berulang kali motosikal tersebut yang sudah terjatuh.


Tindakan itu menyebabkan beberapa bahagian motosikal tersebut mengalami kerosakan. - Sumber Kosmo.


Tangkap layar rider merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.


EmoticonEmoticon