Ahad, 24 September 2023

Beratur selama 15 jam, pelanggan bergaduh gara-gara mahu beli iPhone 15


Kekecohan tercetus di sebuah kedai peranti Apple di New Delhi, India selepas orang ramai menyerbu premis tersebut bagi mendapatkan model baharu iPhone 15, kelmarin.


Laman berita The Times Of India pada 23 September melaporkan, pergaduhan tercetus di kedai Apple di Roop Nagar selepas pelanggan tidak berpuas hati kerana berlakunya kelewatan dalam pembekalan peranti tersebut.


Video tular di media sosial menunjukkan pergaduhan berlaku antara pelanggan dan pekerja premis berkenaan sehingga memaksa polis masuk campur.


Dalam satu video, beberapa orang dilihat membelasah seorang pekerja premis tersebut. Polis Delhi berkata bahawa dua lelaki telah ditahan kerana didakwa memukul pekerja itu.


Selain cawangan di New Delhi, beberapa kejadian serupa turut dilaporkan berlaku di kedai Apple di Mumbai serta di sebuah pusat beli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dengan orang ramai berebut-rebut untuk menjadi yang terawal membeli iPhone 15.


Menurut beberapa laporan, ada antara pelanggan yang cedera parah akibat terjatuh dalam kekecohan itu.


Turut dilaporkan, sesetengah pelanggan telah menghabiskan masa lebih 15 jam beratur lama untuk mendapatkan telefon pintar baharu keluaran Apple itu.


Siri iPhone 15 dilancarkan pada 12 September lalu dan tempahan awal mula dibuka kelmarin untuk pasaran Malaysia. - Sumber The Times Of India.


Kekecohan turut tercetus di sebuah pusat beli-belah di Dubai. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon