Ahad, 3 September 2023

Bangunan usang, penjawat awam bertugas pakai topi keledar bimbang siling runtuh


Penjawat awam di pejabat Pegawai Pembangunan Parishad (MPDO) di Hyderabad, India, terpaksa memakai topi keledar ketika bekerja kerana bimbang siling usang di bangunan berkenaan akan menghempap mereka pada bila-bila masa.


Menerusi lapor Portal berita The Siasat Daily pada 8 Ogos lalu, pejabat itu terletak di Beerpur Mandal berhampiran daerah Jagtial.


Difahamkan, seorang kakitangan di pejabat itu nyaris dihempap bahagian bangunan itu yang dilaporkan runtuh berhampiran dengannya, beberapa bulan lalu, namun dia terselamat.



Sejak itu, kakitangan terbabit merayu supaya pejabat itu dipindahkan ke lokasi lebih selamat. Pejabat itu beroperasi di bangunan yang sewa, selama bertahun-tahun.


Penempatan semulanya ditangguhkan walaupun beberapa rayuan sudah dibuat oleh kakitangan kepada pihak atasan.


Video tular di Twitter itu menggambarkan bagaimana kakitangan bekerja memakai topi keledar.


Ia kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain bertahan di bawah konkrit yang sangat tidak stabil yang mungkin jatuh pada mereka, bila-bila masa.



Bukan setakat kakitangan, malah penduduk kampung yang berkunjung ke pejabat juga teragak-agak untuk memasuki premis itu. Kebimbangan itu berikutan keadaan bangunan yang kelihatan tidak selamat.


Hujan lebat, baru-baru ini, dilaporkan menambah lagi masalah hingga mengakibatkan dinding dan siling lembap.


Sebuah video di Twitter juga mendedahkan sarang kelawar di atas bumbung bangunan sekali gus mengesahkan bangunan itu tidak sesuai sebagai tempat kerja. - Sumber The Siasat Daily.


Penjawat awam di sebuah pejabat di Hyderabad, India, terpaksa memakai topi keledar ketika bekerja. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon