Rabu, 6 September 2023

Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi 'ketukan' selama dua hari berturut-turut


Sekumpulan penduduk tempatan di Nusa Tenggara Barat, Indonesia menggali semula kubur seorang lelaki yang baru sebulan meninggal dunia selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari dalam tanah, lapor program berita Liputan6 pada 6 September 2023.


Video memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam akaun Facebook @Salome Kuah Mamagina.


Orang ramai nekad menggali semula kubur itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat seolah-olah seseorang sedang memukul papan yang menutupi liang lahad selama dua hari berturut-turut.


Kubur itu dikatakan milik seorang penduduk bernama Ahmad yang meninggal dunia kira-kira 42 hari lalu. 


Ketika kubur itu digali, penduduk kampung menghidu bau busuk daripada mayat yang sudah mereput lalu mereka menutup semula kubur itu.


Walaupun mendapat persetujuan keluarga si mati, tindakan penduduk kampung itu mendapat bantahan pengguna di media sosial.


"Kenapa perlu digali semula? Atas alasan ingin tahu? Bagaimana mungkin mayat itu hidup semula. Mungkin ramai menganggap bunyi ketukan daripada mayat yang hidup semula," komen seorang netizen.


"Ramai bersekolah tetapi tidak berpendidikan," komen netizen lain.


Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), mengesahkan bunyi dentuman itu terjadi kerana berlaku fenomena semula jadi proses 'tukul air' dari sumber getaran kawanan gempa bumi.


"Kesan tukul air berlaku apabila aliran air secara tiba-tiba mengalami peningkatan tekanan air secara mendadak dalam saluran dan menekan udara yang terperangkap.


"Akibatnya, gelombang tekanan tinggi bergerak ke belakang melalui saluran, menyebabkan bunyi ketukan atau getaran.


"Ini adalah hasil daripada proses peningkatan tekanan air yang berkemungkinan berpunca daripada gempa bumi segerombolan yang kekuatannya agak kecil," kata Hermansyah yang merupakan Pemangku Ketua Agensi ESDM.


Hermansyah berkata, kawanan gempa bumi ialah satu siri gempa bumi kecil yang berlaku dalam tempoh masa yang agak singkat di kawasan geografi tertentu. Kebiasaannya, gempa bumi ini mempunyai magnitud atau kekuatan yang rendah. - Sumber Liputan6.


Penduduk kampung mengerumuni kubur seorang lelaki di Nusa Tenggara Barat. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon