Sebuah pesawat terhempas di Brazil yang mengorbankan kesemua 14 penumpang termasuk kru, ketika cuba mendarat semasa cuaca ribut, lapor akhbar The Sun UK pada 17 September 2023.
Pesawat EMB-110 itu dalam penerbangan dari bandar Manaus ke wilayah Barcelos di negeri Amazonas apabila tragedi tersebut berlaku. Kumpulan itu terdiri daripada kebanyakan lelaki yang merancang untuk memancing di rantau ini.
Gabenor negeri berkenaan, Wilson Lima menulis di platform Twitter berkata kumpulan itu sering pergi memancing di Rio Negro.
"Para penumpang sudah bersedia untuk bertemu kawan dari bahagian lain di Brazil yang juga datang memancing disana.
"Saya amat berdukacita atas kematian 12 penumpang dan dua kru yang menjadi mangsa nahas pesawat di Barcelos pada Sabtu. Pasukan kami telah berusaha untuk memberikan sokongan yang diperlukan," katanya.
Mayat kesemua mangsa telah ditemui dan dibawa ke sebuah sekolah terdekat. Sebuah pesawat Tentera Udara Brazil kemudian tiba dan membawa semua mayat kepada keluarga terlibat.
Agensi berita AFP melaporkan, pesawat tersebut ketika kejadian sedang terbang menghampiri sebuah pekan kecil dalam cuaca hujan lebat dengan jarak penglihatan yang terhad.
Ia gagal mendarat dengan sempurna, menyebabkan kesemua 12 penumpang dan dua kru terbunuh, kata Setiausaha Keselamatan negeri Amazonas, Vinicius Almeida dalam satu sidang akhbar.
Pesawat itu ialah Embraer EMB-110P1 Bandeirante, sebuah pesawat yang lebih kecil yang sering digunakan dalam penerbangan jarak dekat.
Ini adalah nahas maut kedua bagi model pesawat itu - yang terakhir pada 2009 mengorbankan 24 orang. - Sumber The Sun UK.
EmoticonEmoticon