Rabu, 9 Ogos 2023

Wanita terkejut temui mata kail dalam ikan keli goreng


Seorang wanita di Thailand berdepan detik cemas apabila dia menemui mata kail dan tali pancing dalam makanan yang dipesannya dari sebuah restoran, lapor laman berita Thaiger pada 8 Ogos 2023.


June, 31, memesan beberapa makanan termasuk ikan keli goreng, nasi putih dan nasi berlauk kambing dari restoran yang terletak di daerah Pak Kret, wilayah Nonthaburi pada 27 Julai lalu.


Ketika dia dan rakannya sedang makan tengah hari dan mengasingkan lauk, June menemui mata kail dan tali pancing itu di dalam ikan keli goreng.


Apabila June menghubungi restoran tersebut, kakitangannya menegaskan bahawa mereka telah membersihkan ikan tersebut dengan teliti.


Pihak restoran menawarkan hidangan baharu kepada June namun akibat terkejut, dia memilih untuk menerima bayaran balik sebanyak 120 baht (RM15.70).


Kejadian itu menyebabkan June risau untuk memesan hidangan sama, malah dia akan memeriksa makanannya dengan teliti sebelum dimakan. 


June percaya mata kail itu tersangkut jauh ke dalam badan ikan itu apabila ia memakan umpan. Akibat gagal dikeluarkan, tali pancing dipotong untuk memudahkan ia dimasak. - Sumber The Thaiger.


Kejadian itu mengakibatkan June enggan memesan hidangan sama lagi. - Fito Sanook.


EmoticonEmoticon