Isnin, 28 Ogos 2023

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia


Erin Honeycutt, 38, dari Michigan, Amerika Syarikat diiktiraf sebagai wanita yang memiliki janggut terpanjang di dunia, lapor laman berita The Guardian, minggu lalu.


Dia menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas berjaya memecahkan rekod dunia dengan memiliki janggut sepanjang 30 sentimeter (sm), selepas dua tahun membelanya.


Rekod sebelumnya dipegang Vivian Wheeler, 75, dengan memiliki janggut sepanjang 25.5 cm. GWR adalah organisasi yang terkenal kerana menyusun pangkalan data lebih daripada 40,000 rekod dunia.


Erin berkata, janggutnya tumbuh secara semula jadi akibat menghidap Sindrom Ovari Polikistik (PCOS).


"Saya mula ditumbuhi janggut pada usianya 13 tahun hingga dia mencuba pelbagai kaedah untuk menghilangkannya. Saya mungkin bercukur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.


"Saya buat ini sepanjang remaja sampai saya dewasa. Namun selepas saya mengalami masalah penglihatan, saya penat bercukur sebelum pasangan saya memberi galakan supaya saya membiarkan saja ia tumbuh," katanya.


Selain PCOS, Erin juga menghidap necrotizing fasciitis pada kakinya, iaitu jangkitan bakteria yang jarang berlaku dan mengakibatkan kematian bahagian tisu lembut badan.


"Kaki saya mengalami gangren menyebabkan saya membuat keputusan untuk memotong bahagian bawah anggota badan.


"Namun, tekanan darah saya meningkat tinggi sehingga diserang strok mata dan menjejaskan sebahagian penglihatan saya," katanya.


Katanya, dia berfikiran positif meneruskan kehidupan biarpun kehilangan kaki dan deria matanya.


"Dengan sokongan pasangan saya (Jen), saya membuat keputusan untuk membiarkan janggut saya tumbuh semasa perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19, dengan penampilan itu, saya dapat membina lebih keyakinan diri," katanya.


Erin berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat pengiktirafan itu kerana pernah malu dengan keadaannya itu.


Jen pula berkata, Erin berhak keluar menikmati hidup seperti orang lain walaupun ada kalanya ada pandangan serong daripada orang luar ketika melihatnya.


Sementara itu, ibu Erin, Jill Roach berkata, dia sangat menyokong keputusan anak perempuannya untuk membiarkan janggutnya tumbuh kerana apa yang penting wanita itu gembira dengan apa yang dibuatnya. - Sumber The Guardian.


Erin Honeycutt kini pemegang rekod wanita dengan janggut terpanjang di dunia. - Foto The Guardian.


EmoticonEmoticon