Gambar hiasan. - Foto Shutterstock.
Impian remaja lelaki memiliki sebuah motosikal idaman, tidak kesampaian apabila keluarganya mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan menjual harta pusaka bernilai 1 juta yuan (kira-kira RM640,238), lapor South China Morning Post, semalam.
Mahkamah di wilayah Henan, meneliti perjanjian antara remaja berusia 18 tahun itu, Xiaohua dan dua ejen hartanah, Xiaowu dan Xiaoyang, sebelum perjanjian jual beli itu dibatalkan kerana tidak adil, lapor Dacankao.
Xiaohua memutuskan untuk menjual harta yang diwarisi daripada datuknya itu selepas ibu bapanya enggan membelikannya sebuah motosikal.
Tanpa pengetahuan ibu bapanya, dia berhubung dengan ejen bernama Xiaowu. Remaja itu bersetuju untuk menjual hartanah itu kepada Xiaowu pada separuh nilai pasarannya, 520,000 yuan (kira-kira RM332,923).
Xiaowu kemudian menjualnya semula kepada ejen lain, Xiaoyang, untuk jumlah yang tidak didedahkan tetapi mengaut keuntungan berganda.
Apabila ibu Xiaohua mengetahui urus niaga itu, dia curiga dengan dua ejen itu dan mengesyaki mereka menipu remaja itu.
Hakim, He Meng, berkata, Xiaohua harus bertanggungjawab atas keputusan tidak matangnya itu, namun ibunya mendakwa urus niaga itu tidak adil.
Penelitian mahkamah mendapati urus niaga itu berlaku secara sah, namun akhirnya memikirkan usia remaja itu masih mentah dan mudah dimanipulasi pihak lain, mahkamah membatalkan perjanjian itu.
"Xiaowu mengambil kesempatan daripada Xiaohua," katanya.
Mahkamah memutuskan, pemilikan harta diberikan semula kepada Xiaohua. - Sumber South China Morning Post.
EmoticonEmoticon