Rabu, 2 Ogos 2023

Lif tiba-tiba tak berfungsi, wanita maut selepas 3 hari terperangkap


Seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar surat maut selepas terperangkap di dalam sebuah lif selama tiga hari di Uzbekistan, lapor laman berita Wion News pada 1 Ogos 2023.


Tiada seorang pun yang datang untuk menyelamatkan mangsa, Olga Leontyeva, 32, dalam tempoh itu, lapor akhbar Daily Mirror.


Tambahnya, Leontyeva menjerit meminta tolong dari dalam lif di tingkat teratas bangunan sembilan tingkat itu, namun tiada sesiapa yang mendengar suaranya.


Keluarganya dilaporkan ada menghubungi pihak berkuasa pada 24 Julai lalu untuk melaporkan kehilangan mangsa selepas dia tidak pulang dari kerja.


Selepas operasi mencari dilakukan, mayatnya ditemui di dalam lif pada hari berikutnya. Leontyeva meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun yang kini dijaga oleh saudaranya.


Sebelum penemuan mayatnya, dia dilihat menerusi rakaman televisyen litar kamera tertutup (CCTV) memasuki lif tersebut di aras bawah. Leontyeva tidak kelihatan lagi selepas itu.


Pejabat pendakwa raya tempatan dilaporkan telah melancarkan siasatan ke atas tragedi itu. Lif itu adalah buatan China dan berfungsi. Tetapi ia tidak didaftarkan.


Syarikat kuasa serantau itu dilaporkan mengesahkan bahawa tiada bekalan elektrik terputus pada hari Leontyeva terperangkap. Tragedi itu dikaitkan dengan kerosakan pada lif yang tidak disedari.


Kejadian serupa dilaporkan di Itali minggu lalu. Francesca Marchione, 61, ditemui mati selepas dia terperangkap dalam lif semasa bekalan elektrik terputus.


Insiden itu berlaku pada 26 Julai apabila gangguan bekalan elektrik menyebabkan bangunan itu menjadi gelap. Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil. Tetapi malangnya, mereka menemui mayat Marchione di dalam lif.


Pada masa itu, lif tersekat di antara dua tingkat. Dilaporkan bahawa pintu lif terbuka. Namun, dia tidak dapat melarikan diri. - Sumber Wion News.


Leontyeva memasuki sebuah lif sebelum dia terperangkap selama tiga hari. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon