Khamis, 31 Ogos 2023

Kru kabin menari atas sayap pesawat Boeing 777 disiasat


Anak kapal pesawat Swiss International Air Lines disiasat selepas menari dan mengambil gambar di sayap pesawat Boeing 777, lapor portal NDTV pada 30 Ogos 2023.


Rakaman video itu tular selepas dimuat naik oleh seorang pelancong yang merakam kelakuan itu ketika sedang menunggu di bangunan terminal lapangan terbang.


Video itu menunjukkan seorang pramugari menari di sayap pesawat dan kemudian dia disertai oleh rakan setugas lelaki.


Selepas itu, seorang lelaki kedua, yang dipercayai sebagai ketua kabin kanan, muncul dan terus melakukan aksi seperti ahli bina badan.


Klip itu juga memaparkan dua kru bergambar di depan enjin kapal terbang. Video itu dirakam awal bulan ini, dan ia mencetuskan kemarahan pengurusan Swiss International Air Lines.


Bertindak balas terhadap klip tular itu, syarikat penerbangan berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan tingkah laku itu tidak boleh diterima.


"Apa yang kelihatan seperti menyeronokkan dalam video itu mengancam nyawa. Sayap Boeing 777 adalah kira-kira lima meter tinggi.


"Mereka yang terjatuh dari ketinggian itu boleh meninggal dunia," kata jurucakap Switzerland Air Lines, Michael Pelzer.


Menurut New York Post, Pelzer berkata, anak kapal hanya boleh menjejakkan kaki di atas sayap pesawat sekiranya berlaku kecemasan serius, seperti pemindahan penumpang.


Syarikat penerbangan itu menyeru supaya kakitangan berhenti melakukan kerja bodoh itu dan turut meluahkan perasaan marah serta kecewanya atas kejadian berkenaan. - Sumber NDTV.


Tangkap layar video tular menunjukkan insiden berkenaan. - Foto New York Post.


EmoticonEmoticon