Biasanya harga kereta lama yang tersadai, terbabit dalam kemalangan dan lebih teruk lagi tinggal rangka sahaja hanya layak dinilai pada harga besi buruk.
Namun tidak bagi rangka Siri 1 Ferrari 500 Mondial Spider 1954 yang direka firma reka bentuk kereta terkenal Itali, Carrozzeria Pininfarina. Rangka kereta berkarat dan remuk Ferrari klasik itu dijual pada harga £1.5million (kira-kira RM8.8 juta).
Menurut lapor akhbar Mirror UK pada 18 Ogos 2023, kereta itu pernah dipandu dalam perlumbaan oleh bekas pemandu pasukan Scuderia Ferrari, Franco Cortese di litar Mille Miglia yang terkenal di dunia.
Pada awal 1960-an, Mondial Spider yang berkelajuan 237 kilometer sejam itu terbabit dalam satu perlumbaan yang tidak diketahui lokasi sebenar di Amerika Syarikat menyebabkan kereta itu terhempas, terbakar dan rosak teruk hingga tinggal rangka.
Kemudian seorang pemaju hartanah di Florida, Walter Medlin, membeli rangka itu pada 1978 sebagai koleksi antara 20 kereta Ferrari disimpannya.
Rangka dipelihara itu ditemukan apabila Medlin meninggal dunia tahun lalu dan menurut pusat lelongan Sotheby's di Monterey, California, ia sudah pun dibeli pada harga £1.5 juta (kira-kira RM8.8 juta) pada jualan lelongnya. Namun, pemilik baru belum didedahkan.
Jurulelong RM Sotheby's di California berkata, kereta digunakan dalam perlumbaan secara meluas termasuk penampilan di Grand Prix Mille Miglia, Targa Florio, dan Imola itu adalah satu daripada hanya 13 contoh yang asalnya dibina Pininfarina.
"Ia ditawarkan buat kali pertama lebih 50 tahun, menjadikan ia projek pemulihan ideal. Selepas siap pastinya menjanjikan pengalaman pemanduan mendebarkan enjin Aurelio Lampredi iaitu loji kuasa kecil yang bertanggungjawab untuk begitu banyak kemenangan Scuderia Ferrari," katanya.
Mondial sebelum ini yang dipulihkan semula dijual pada harga £3.2 juta (kira-kira RM18.9 juta) pada 2019. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon