Isnin, 21 Ogos 2023

3 lelaki curi pasu antik Dinasti Ming bernilai RM11.85 juta pada 2019 lalu akhirnya ditangkap


Tiga lelaki warga Britain didapati bersalah atas kesalahan mencuri pasu antik Dinasti Ming China bernilai £2 juta (RM11.85 juta), lapor akhbar Daily Mail 10 Ogos lalu.


Artifak yang asalnya dicuri dari Muzium Seni Timur Jauh di Geneva, Switzerland itu berjaya ditemui menerusi satu operasi polis, lapor Agensi Anadolu memetik Polis Metropolitan pada Sabtu.


"Kesemua suspek ditangkap dan didakwa berhubung kes pecah rumah pada Jun 2019 membabitkan kehilangan pasu Dinasti Ming Cina dari Muzium Seni Timur Jauh di Geneva," menurut polis dalam satu kenyataan.


Salah seorang Individu yang disabitkan kesalahan merupakan bekas pemain bola sepak West Ham United berusia 26 tahun, cuba menjual pasu antik bernilai £2 juta itu dengan harga £450,000 sebelum ditangkap.


Kaine Wright, 26, dari Plumstead, dituduh cuba menjual artifak Abad ke-14 dengan bantuan rakan sejenayah Leslie Nkhwa, 47, dan David Lamming, 31 tahun.


Mereka didapati bersalah pada Jumaat kerana bersubahat menukar harta jenayah. Keputusan itu dijatuhkan di Mahkamah Southwark Crown di London.


Sabitan itu susulan kerjasama menyeluruh selama empat tahun antara Polis Metropolitan dan penguatkuasa undang-undang Switzerland, yang akhirnya membawa kepada pasu antik tersebut selamat kembali ke muzium Switzerland.


Artifak yang dicuri, 'pasu' porselin putih, dihasilkan secara teliti semasa pemerintahan Yongle Dinasti Ming, mempunyai sejarah menjangkau berabad-abad lamanya.


Lamming, dari Lewisham, mengakui konspirasi untuk menukar harta jenayah manakala Wright dan Nkhwa menafikan pertuduhan itu.


Wright adalah bekas pemain pasukan remaja dengan West Ham dan Brentford sebelum dia berpindah ke Major League Soccer di Amerika.


Hukuman ke atas Nkhwa, Wright, dan Lamming akan diputuskan oleh mahkamah pada 13 Oktober ini. - Sumber Daily Mail.


Pasu antik Dinasti Ming. - Foto Metropolitan police/PA.

(Wright gambar kiri) tiga lelaki warga Britain didapati bersalah mencuri pasu antik. - Foto News In France.


EmoticonEmoticon