Khamis, 13 Julai 2023

Wanita peraga 180 gram barang kemas selepas pulang menunaikan haji rupanya emas palsu


Seorang jemaah wanita dari Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia, mencuri perhatian hingga tular di media sosial apabila melaram dengan barang kemas selepas pulang menunaikan haji di Tanah Suci Makkah.


Portal Kompas melaporkan, berdasarkan gambar tular, Suarnati Daeng Kanang berusia 46 tahun yang juga peniaga burger itu dilihat memakai rantai, gelang dan cincin.


Menurutnya, dia memakai barang kemas seberat 180 gram, namun tidak semua dibeli dari Tanah Suci Makkah.


"Dari Makasar, separuh (emas) saya bawa. Kira-kira 80 gram, kalau yang saya beli dari Tanah Suci mungkin 100 gram," katanya kepada pemberita di Aula Arafah Asrama Haji Sudiang Makasar.


Wanita itu berkata, dia membeli barangan kemas itu menggunakan wang riyal, dengan jumlah bersamaan 1.2 juta rupiah (kira-kira RM397) bagi setiap gram.


Bagaimanapun, tindakan wanita itu menayangkan barangan kemas digayakannya itu mendapat kecaman netizen, yang menuduhnya mahu menunjuk-nunjuk bahawa mampu menunaikan haji.


Dia mengaku sedih dan malu apabila dikecam, malah menegaskan sudah bernazar membeli emas.


"Sebelum daftar nak tunaikan haji lagi saya sudah bernazar pakaian saya akan seperti ini tapi entah kenapa ramai yang kecam," katanya yang menganggap kecaman itu sebagai ujian bagi menguji kesabarannya selepas pulang dari Tanah Suci.


Sementara itu, pegawai perhubungan Jabatan Kastam, Ria Novikasari berkata, selepas video tular pihaknya telah melakukan pemeriksaan termasuk mengunjungi rumah Suarnati untuk mengesahkan.


Menurut Ria, Suarnati memberi kerjasama menunjukkan barang kemas yang dibawanya ketika turun dari pesawat. Kemudian, barang kemas yang ditunjukkan dipadankan dengan video yang tular.


"Memang kesimpulan kami adalah itu barang atau perhiasan yang sama pada saat dia datang dari Jeddah menuju Bandara Internasional Sultan Hasanuddin Makassar," kata Ria di Makassar, pada Isnin 10 Julai 2023.


Ria berkata, pihak terbabit menjalani pemeriksaan selama lima jam bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, selepas menerima surat daripada pihak pajak gadai, mereka dapati emas wanita itu adalah palsu.


"Berdasarkan soal siasat yang dilakukan Jabatan Kastam, (wanita itu) mengaku membeli barangan kemas itu dengan harga 900,000 rupiah (kira-kira RM277) secara keseluruhan.


"Sedangkan, dia memberitahu media yang emasnya dibeli dengan harga 1.2 juta rupiah (kira-kira RM397) setiap gram menggunakan wang riyal," katanya. - Sumber Kompas TV.


Jemaah haji wanita Makassar, Sulawesi Selatan, Suarnati Daeng Kanang, menunjukkan barang kemas emas setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Rabu, 5 Julai2023. - Foto Screenshot Kompas TV/Nadia.


EmoticonEmoticon