Ahad, 16 Julai 2023

Tesla melancarkan pikap elektrik pertama, Cybertruck


Pengeluar kereta Amerika Syarikat melancarkan pikap elektrik pertamanya, dikenali sebagai 'Cybertruck' dengan proses pemasangannya dibuat di kilang berhampiran Austin, Texas.


Tesla dalam ciapannya di Twitter berkata, Cybertruck pertama dibina di Giga Texas, selain muat naik itu turut disertakan dengan gambar kenderaan futuristik itu yang dikelilingi pekerja syarikat berkenaan.


Pemilik Tesla dan Twitter, Elon Musk yang mengulang ciap muat naik berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan Tesla.


April lalu, syarikat berkenaan dilapor akan melancarkan Cybertruck pertamanya, sebelum akhir tahun ini. Pelan untuk kenderaan itu pertama kali diumumkan pada November 2019.



Sesi pengenalan kenderaan itu agak luar biasa apabila Elon mengarahkan pekerjanya memukul satu tingkap kenderaan prototaip menggunakan keluli bagi mempamerkan kekukuhan strukturnya.


Bagaimanapun, tingkap berkenaan pecah ketika sesi ujian dilakukan, selain siri kedua turut memberikan hasil sama, sekali gus mengundang maklum balas negatif.


Namun, Tesla memaklumkan pihaknya menerima hampir 150,000 tempahan awal, selepas dua hari kejadian terbabit.


Elon pada Mei lalu berkata, Tesla menyasarkan pengeluaran 250,000 Cybertruck setahun dengan angka itu diunjur meningkat dua kali ganda ekoran faktor harga yang berpatutan.


Tesla akan menghasilkan tiga model Cybertruck, antaranya yang mampu membuat pecutan dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh kurang tiga saat.


Model asas akan berharga AS$39,900 dan menawarkan jarak 400 kilometer antara caj, manakala trak pikap barisan atas dijual pada harga AS$69,900. - Sumber The Straits Times.


Cybertruck Tesla dipamerkan di Manhattan's Meatpacking District di New York City, pada 8 Mei 2021 lalu. - Foto REUTERS.


EmoticonEmoticon