Selasa, 25 Julai 2023

Tak dapat kerja walaupun sebagai pencuci tandas sebab 800 tatu


Seorang wanita British mendakwa dia gagal mendapat sebarang pekerjaan walaupun untuk kerja sebagai pencuci tandas kerana mencacah kira-kira 800 tatu hampir seluruh tubuh badannya termasuk muka, lapor NDTV minggu lalu.


Namun di sebalik kesukaran itu, Melissa Sloan, 46, yang berasal dari Wales di United Kingdom itu mencari pekerjaan, dia masih mencacah tiga tatu baharu setiap minggu sebab ketagih perbuatan itu.


Tatu boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi tumpuan, tetapi ia kini menjadi punca kesukaran Melissa untuk mencari rezeki.


Ke mana-mana sahaja syarikat yang dia pergi, pihak majikan akan mengkritik penampilan bertatunya dan menolak permohonannya untuk bekerja.


Menurut The New York Post, Melissa sebelum ini mempunyai pekerjaan membersihkan tandas tetapi dia mengatakan kini dia gagal dalam permohonan untuk kerja serupa.


"Saya tidak boleh mendapatkan pekerjaan lagi. Saya memohon kerja membersihkan tandas di tempat saya tinggal, dan mereka tidak menerima kerana tatu dimiliki saya.


"Orang ramai berkata saya tidak pernah mempunyai pekerjaan dalam hidup saya, tetapi saya pernah mempunyai pekerjaan sekali sebagai pencuci tandas dan ia tidak bertahan lama," kata ibu kepada dua anak itu dalam satu temubual lain kepada Daily Star pula.


Menurutnya, jika sesiapa atau mana-mana pihak menawarkannya pekerjaan pasti dia akan menerima tawaran dan pergi bekerja.


Sloan mula mencacah tatu pada usia 20 tahun dan menjadi ketagih menambah tatu di ruang yang masih ada pada tubuhnya.


"Jika saya mencapai 70 tahun, saya masih akan mendapatkannya walaupun saya bertukar biru. Setiap cebisan kulit akan tertutup dengan tatu. Muka saya sudah pun bertukar biru. Saya kelihatan seperti Smurf," katanya.


Sloan mempunyai kegemaran khusus untuk tatu muka dan tidak mempunyai kulit kosong yang tersisa di wajahnya. Dia sudah menggelapkan dakwat pada tatu lama sebanyak tiga kali, menghasilkan kolaj berbilang lapisan di wajahnya.


"Saya mempunyai tiga lapisan tatu di muka saya. Saya mungkin mempunyai paling banyak tatu di dunia. Saya mahu terus melakukannya berulang kali," katanya. - Sumber NDTV.


Melissa Sloan mendapat tatu pertamanya 26 tahun lalu. - Foto Facebook/Melissa Sloan.




EmoticonEmoticon