Seorang lelaki yang identitinya tidak didedahkan menjumpai lebih 800 syiling emas era perang saudara Amerika Syarikat bernilai lebih AS$1 juta (RM4.56 juta) di sebuah ladang jagung di Kentucky, baru-baru ini, lapor portal berita The Guardian pada 22 Julai 2023.
Lokasi tepat tempat dia menemui syiling emas tersebut tidak didedahkan tetapi video yang disiarkan di laman YouTube pada 9 Jun oleh seorang peniaga duit lama dikenali sebagai GovMint menunjukkan lelaki berkenaan berada dalam keadaan sungguh gembira.
Lelaki berkenaan menyebut bahawa penemuan itu sebagai sesuatu yang 'sangat gila'. Akhbar The New York Times menganggarkan harta karun itu bernilai lebih AS$1 juta.
"Ini adalah apa yang setiap pemburu harta karun impikan dan lelaki itu mengalaminya," kata seorang netizen di YouTube.
Menurut GovMint.com, syiling emas, yang telah dipanggil "Great Kentucky Hoard," bermula dari tahun 1840 hingga 1863 itu terdiri daripada $1 Gold Indians, $10 Gold Libertys dan $20 Gold Libertys, serta beberapa 1863 Gold Liberty Double Eagles, kesemuanya merupakan gred "super".
"Penemuan paling menakjubkan dalam simpanan ini ialah kira-kira 18 syiling Gold Liberty 1863-P $20, salah satu tarikh paling jarang dalam siri Liberty $20. Ini adalah syiling yang selalunya mempunyai harga enam angka," kata laman web itu.
Syiling itu kemudiannya diperakui oleh Syarikat Jaminan Numismatik, sebuah syarikat pensijilan penggredan syiling pihak ketiga. Menurut GovMint.com, syiling itu memaparkan "kilauan yang memukau mata" dan kebanyakannya digredkan sebagai "Keadaan Sangat Halus kepada Keadaan Mint". - Sumber The Guardian.
EmoticonEmoticon