Selasa, 11 Julai 2023

Bapa jumpa semula anak diculik selepas cari selama 22 tahun


Selepas lebih dua dekad gigih mencari anak yang diculik, seorang lelaki di China akhirnya dapat bersatu semula dengan anak tersayangnya, lapor laman berita Oddity Central pada 7 Julai 2023.


Lei Wuze menemukan anak lelakinya, Lei Yuechuan di bandar sejauh 900 kilometer dari lokasi terakhirnya.


Pada Oktober 2001, Lei Wuze meninggalkan rumahnya di Yueyang, wilayah Hunan tanpa mengetahui ia adalah kali terakhir dia melihat anaknya.    


Lelaki itu meninggalkan anak lelakinya berusia empat tahun yang sedang bermain di bawah pengawasan seorang jirannya.



Wanita itu memberitahu polis bahawa dia melihat seorang lelaki mengumpan budak tersebut sebelum menculiknya di jalanan ketika dia tidak menyedarinya.


Selepas penculikan Yuechuan, Lei Wuze dan isterinya mempunyai seorang anak perempuan, tetapi mereka tidak pernah berputus asa mencari anak lelaki mereka.  


Sejak itu, Lei Wuze mula mencari anaknya termasuk berjalan sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan.


Dia menyiarkan risalah di seluruh China, pergi ke rancangan TV dan siaran radio, dan sentiasa aktif dalam talian. Lei Wuze menganggarkan bahawa dia mendedikasikan lebih 70 peratus masanya selama 22 tahun yang lalu untuk mencari Yuechuan.


Sepanjang 22 tahun mencari anaknya, Lei Wuze sempat berkenalan dengan ramai ibu bapa lain yang mengalami nasib sama.


Malah, dia juga sudah bertemu lebih 300 anggota polis selain mengunjungi ratusan bandar di seluruh China untuk mengesan keberadaan Yuechuan.


Usaha Lei Wuze yang berterusan membuahkan hasil selepas perisian pengecaman muka dikenali sebagai 'Prototaip Pengecaman Muka 2.0' berjaya mengesan anaknya.


Perisian itu digunakan oleh polis untuk mencari padanan selepas gambar wajah Yuechuan ketika kecil dihasilkan menjadi model lebih tua.


Pada awal tahun ini, Lei Wuze dimaklumkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dirinya sepadan dengan seorang lelaki berusia 26 tahun yang tinggal di Shenzen.


Lei Wuze, yang telah membeli hadiah hari jadi anaknya setiap tahun, walaupun ketiadaannya, akhirnya bertemu dengan Yuechan pada penghujung bulan lalu. Ujian DNA yang dilakukan kali kedua akhirnya mengesahkan pencarian itu sudah berakhir.


Ia merupakan kisah menyayat hati yang menjangkau lebih dua dekad. Tidak jelas sama ada Yuechuan mempunyai keluarga sendiri lagi, dan jika dia mahu tinggal bersama keluarga kandungnya, tetapi fakta mudah bahawa Lei Wuze akhirnya menemui anak lelakinya yang telah lama hilang.


Beberapa tahun lalu media di China memaparkan kisah yang sama tentang Wang Mingqing, seorang lagi bapa yang menemui anak perempuannya yang diculik selepas pencarian selama 24 tahun. - Sumber Oddity Central.


Lei Wuze mencari anaknya termasuk berjalan sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan. - Foto Oddity Central.


EmoticonEmoticon