Seorang wanita berusia 34 tahun ditahan polis di sekitar daerah Barat Daya di Balik Pulau, kelmarin kerana disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya bernilai RM90,000.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.
Menurut beliau, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan di dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.
"Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu (10 Jun) selepas mengesyaki barangan kemas itu dicuri wanita berkenaan. Suspek ditahan pada Ahad (11 Jun).
"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.
"Susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu, kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
EmoticonEmoticon