Rabu, 28 Jun 2023

Selepas rompak, suspek ajak mangsa keluar 'dating' kerana terlalu cantik


Seorang lelaki di negeri Indiana ditahan kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang wanita sebelum meminta mangsa menjadi rakannya di laman Facebook serta mengajaknya keluar temu janji, lapor Daily Mail pada 25 Jun 2023.


Amber Beraun berkata dia pulang ke rumahnya di tenggara Indianapolis kira-kira jam 4 pagi pada 8 Mei selepas seharian bekerja, dan sedang memeriksa e-mel apabila suspek, Damien Boyce mengacukan pistol ke arahnya serta merompak wang tunai berjumlah AS$100 (RM468) milik mangsa.


Suspek kemudian menyuruh mangsa mencari namanya di Facebook dan membuat permintaan untuk menjadi rakan (friend request) sambil dilihat olehnya.


Suspek juga memberitahu mangsa bahawa dia akan membayar balik wang yang dirompak sebelum melarikan diri menggunakan sebuah basikal.


Mangsa tidak lama selepas itu menerima pesanan ringkas di Facebook daripada suspek yang mengajaknya keluar.


"Saya hanya mampu memulangkan wang anda. Saya tahu cara kita bertemu agak kasar, namun anda terlalu cantik untuk dirompak. Kita perlu bertemu, marilah berjumpa. Saya berjanji saya bukan seorang pemarah," kata suspek dalam pesanan tersebut.


Dia ditahan Rabu lalu atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata serta didakwa kerana memiliki pistol untuk melakukan jenayah. - Sumber Daily Mail.


Amber Beraun memberitahu bagaimana seorang lelaki merompaknya dengan diacukan senjata dan kemudian meminta dia berkawan dengannya di Facebook. - Foto WRTV.


EmoticonEmoticon