Ahad, 18 Jun 2023

NASA siar imej panorama siang di Marikh buat pertama kali


Kenderaan penjelajah Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Curiosity, menghantar beberapa gambar ke Bumi yang memaparkan panorama harian di planet itu, lapor akhbar Metro UK pada 16 Jun 2023.


Ia merakamkan pemandangan mengagumkan dari Lembah Marker Band di planet itu dengan perincian yang luar biasa, termasuk trek Curiosity sendiri di kawasan tanah merah yang terkenal.


Imej itu adalah gabungan dua panorama yang diambil pada pukul 9.20 pagi dan 3.40 petang dengan menggunakan kamera navigasi hitam-putih yang kemudiannya diwarnakan oleh pasukan NASA di Bumi.


Warna biru mewakili waktu pagi dan kuning pula merupakan waktu petang.


"Dengan merakam panorama pada dua masa yang berbeza dalam sehari, pemandangan itu menunjukkan bayang-bayang dramatik yang serupa dengan pencahayaan pentas yang masuk dari kiri dan kanan pentas tengah.


"Selain itu, ia adalah musim sejuk di lokasi Curiosity pada masa imej-imej ini ditangkap, bayang-bayang lebih tajam dan lebih dalam semasa musim sejuk, apabila habuk berada pada tahap paling rendah di atmosfera Marikh," kata kenyataan daripada NASA.


Sebanyak lima gambar dihantar ke Bumi yang menunjukkan pelbagai ciri landskap Marikh manakala dua bukit, Bolivar dan Deepdale boleh dilihat berhampiran kenderaan itu. - Sumber Metro News.


(Gambar atas waktu pagi dan gambar bawah waktu petang) Gambar panorama indah dihantar ke Bumi oleh kenderaan penjelajah NASA, Curiosity di planet Marikh baru-baru ini. - Foto NASA/JPL-CalTech.


EmoticonEmoticon