Ibu bapa kepada seorang gadis berusia 13 tahun yang ketagih permainan video terkejut apabila mengetahui bahawa remaja tersebut membelanjakan wang sebanyak 449,500 yuan (RM290,299) untuk hobinya itu, lapor laman berita OddityCentral pada 6 Jun 2023.
Dalam kejadian di wilayah Henan, China itu, ibu remaja terbabit mendapati akaun banknya hanya berbaki 0.5 yuan (RM0.32 sen), daripada jumlah asal sebanyak 449,500 yuan. Wang itu adalah milik dia dan suaminya yang disimpan selama bertahun-tahun.
Lebih mengejutkan adalah pelakunya ialah anak perempuan mereka sendiri yang menggunakan kad debit wanita berkenaan bagi memenuhi ketagihan permainan videonya.
Perkara itu diketahui hanya selepas guru gadis itu menyedari dia menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan telefon bimbit di sekolah dan memberitahu ibunya tentang perkara itu.
Menurut South China Morning Post, gadis berusia 13 tahun itu membelanjakan 330,000 yuan untuk membeli permainan dan membuat pembelian dalam permainan, serta kira-kira 100,000 yuan untuk membeli permainan untuk rakan sekolahnya.
Dalam video yang tular di media sosial, wanita berkenaan melihat helaian penyata bank yang memperincikan perbelanjaan anak perempuannya.
Namun, si ibu akhirnya mengakui bahawa dia telah membuat kesilapan dengan memberikan kod nombor pengenalan peribadi (PIN) kad debit kepada anaknya sekiranya dia memerlukan wang segera untuk kecemasan.
Dia tidak pernah membayangkan bahawa anak perempuannya akan berbuat demikian, akaun simpanan keluarga habis dibelanjakan dalam masa empat bulan sahaja. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon