Sabtu, 27 Mei 2023

Penjual mi dipenjara 5 tahun perli menteri makan di restoran Salt Bae


Seorang penjual mi di Vietnam yang membuat video parodi mengejek seorang menteri paling berkuasa di negara itu telah dipenjara selama lima tahun enam bulan berhubung kesalahan menyebar propaganda anti-negara.


Lapor BBC News pada 25 Mei 2023, Bui Tuan Lam menjadi terkenal apabila menyiarkan video pada tahun 2021 meniru gerakan chef selebriti Salt Bae yang berpangkalan di London.


Dalam videonya, Tuan Lam menabur bawang hijau di atas mi supnya seperti gaya chef berasal dari Turkiye itu menabur garam pada hidangan stiknya.


Beberapa hari sebelum itu, rakaman Menteri Keselamatan, To Lam menikmati stik bersalut emas berharga 1,600 pound (RM9,131) di restoran chef tersebut mencetus kekecohan dalam talian.


Ramai rakyat Vietnam mengecam tindakan pegawai tinggi komunis itu yang memakan hidangan mewah dengan harga mahal melebihi gaji bulanannya sejurus selepas beliau melawat kubur Karl Marx di London.


Ekoran insiden itu, polis menyoal siasat Tuan Lam dan menutup gerainya, yang menjadi sangat popular selama beberapa hari selepas parodinya dimuat naik di laman sosial.


Lelaki itu dilaporkan ditahan sejak September lalu dan pasportnya turut disekat.


"Walaupun parodi Salt Bae yang terkenal tidak disebut, rasa malu kerajaan Vietnam terhadap video itu dianggap sebagai punca penahanannya.


"Walaupun pertuduhan adalah mengenai siaran Facebook yang lalu, tiada siapa yang patut tertipu," kata Pegawai Human Rights Watch, Phil Robertson. - Sumber BBC News.


BACA: Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas.


Bui Tuan Lam ditahan polis Vietnam selepas meniru gaya Salt Bae dalam video parodinya. - Foto BBC News.


EmoticonEmoticon