Seorang pelanggan sebuah restoran di Washington, Amerika Syarikat mengamuk apabila hidangan taco yang dipesannya tidak dimasak dengan pantas, lapor akhbar New York Post pada 19 Mei 2023.
Seorang pekerja wanita Restoran Chipotle memberitahu laman berita Fox 5 bahawa pelanggan itu bertindak ganas selepas cuba merampas taco dari tangannya.
"Dia cuba merampasnya (taco), namun gagal sebelum saya membuangnya ke dalam tong sampah. Dia kemudian menjadi marah," kata pekerja itu yang enggan identitinya didedahkan.
Rakaman kejadian memaparkan pelanggan tersebut cuba merampas kotak makanan ketika pekerja itu cuba menghidangkannya.
Setelah pekerja tersebut membuang taco ke dalam tong sampah, lelaki itu mula melempar barang ke arahnya.
Pekerja itu menutup mukanya daripada terkena barangan yang dilempar sebelum melarikan diri ke pintu belakang restoran. Tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian.
Menurut Polis Metropolitan, pegawai yang bertindak balas diberitahu bahawa lelaki itu menjadi marah kerana dia merasakan makanannya tidak disediakan dengan pantas.
Dia kemudian meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki skuter sewa, demikian laporan polis yang diperoleh Fox Business.
"Kami menyedari kejadian malang yang berlaku di salah sebuah restoran di Washington, bulan lepas," kata Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Laurie Schalow kepada Fox Business Digital dalam e-mel pada hari Jumaat.
"Kesihatan dan keselamatan pekerja kami adalah keutamaan kami, dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan keadilan ditegakkan bagi individu yang tidak melayan pasukan kami dengan cara sepatutnya."
Polis menawarkan ganjaran $1,000 (RM4,538) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan lelaki itu. - Sumber New York Post.
EmoticonEmoticon