Ahad, 28 Mei 2023

Pegawai kerajaan arahkan empangan dikeringkan untuk cari telefonnya yang jatuh ketika swafoto


Seorang pegawai kerajaan India digantung tugas selepas dia mengarahkan sebuah empangan dikeringkan sepenuhnya bagi mencari telefonnya yang hilang, lapor BBC News pada 26 Mei 2023.


Para petugas mengambil masa tiga hari untuk mengepam berjuta-juta liter air keluar dari empangan, selepas Rajesh Vishwas menjatuhkan telefonnya ke dalamnya ketika mengambil swafoto.


Ketika ditemukan, telefon itu sudah pun dimasuki air dan tidak boleh lagi berfungsi.


Vishwas memaklumkan, dia terpaksa berbuat demikian kerana telefon tersebut mengandungi data kerajaan yang sensitif dan perlu disimpan. Namun, dia didakwa kerana menyalahgunakan kuasa.


Insiden itu berlaku di Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh.


Mulanya, Vishwas mengupah khidmat penyelam untuk mencari telefonnya, namun gagal sebelum dia membuat keputusan untuk mengeringkan air dalam empangan tersebut.


Katanya, dia sudah memperoleh kebenaran lisan daripada seorang pegawai untuk melakukan tindakan tersebut dan mengalirkan air yang dipam ke saliran air berhampiran.


Pam itu berjalan selama beberapa hari, mengosongkan kira-kira dua juta liter air yang cukup untuk mengairi 6 kilometer persegi tanah ladang.


Misinya dihentikan apabila seorang pegawai lain, dari jabatan sumber air, tiba berikutan aduan.


"Dia telah digantung sehingga siasatan. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan seperti ini," kata Priyanka Shukla, seorang pegawai daerah Kanker, kepada akhbar The National.


Vishwas mempertahankan tindakannya dengan menyatakan air tersebut boleh digunakan para petani untuk tanaman mereka, terutamanya sawah padi. - Sumber BBC News.


Takungan air di Empangan Kherkatta di Chhattisgarh, India. - Foto Ramanmann1974.


EmoticonEmoticon