Seorang wanita di China yang didakwa curang bermati-matian berpaut pada kaki suaminya bagi memohon maaf di hadapan mahkamah demi menyelamatkan perkahwinan mereka, lapor laman berita Thaiger pada 30 April 2023.
Rayuannya bagaimanapun tidak diendahkan kerana si suami telah mengetahui 'kebenaran pahit' mengenai kecurangan isterinya.
Pasangan itu berasal dari wilayah Hebei. Si suami yang hanya dikenali sebagai Pei, mengetahui kecurangan isterinya, Lan, sebelum memfailkan perceraian.
Menurut media China, pasangan itu berkenalan ketika zaman universiti. Pei adalah seorang pelajar pintar dengan pencapaian akademik yang cemerlang dalam perniagaan korporat antarabangsa.
Selepas Lan berkahwin dengan Pei, dia mengambil alih peranan sebagai suri rumah, menjaga keperluan rumah tangga pasangan itu.
Pei kerap mengembara untuk pekerjaannya, membuatkan Lan berasa semakin sunyi. Dia kemudian mencari kenalan melalui perkhidmatan sembang dalam talian. Pada suatu hari, apabila Pei pulang ke rumah, dia mendapati Lan bercakap dengan lelaki lain melalui telefon.
Pei yang mengesyaki Lan berlaku curang telah memeriksa telefon bimbit wanita itu ketika dia sedang mandi. Dia kemudian terkejut apabila menemui banyak perbualan berterusan antara isterinya dengan beberapa lelaki.
Sambil menangis teresak-esak, Lan segera meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya sambil berjanji untuk menjadi lebih baik.
Bagaimanapun, pada suatu hari, Pei pulang lebih awal daripada jangkaan, wanita itu sekali lagi 'ditangkap' berdua-duaan dengan lelaki lain di dalam rumah mereka. Ia menyebabkan Pei nekad memfailkan perceraian dengan wanita berkenaan.
Apabila sampai di mahkamah, Lan yang terpinga-pinga jatuh berlutut, mencengkam kaki suaminya dan menangis meminta dia mengasihaninya.
Di sebalik rayuannya, Pei tidak lagi dapat meneruskan perkahwinan mereka, menjerit "Pergi cari orang lain" semasa dia memasuki mahkamah untuk meneruskan perceraian. - Sumber The Thaiger.
EmoticonEmoticon