Selasa, 2 Mei 2023

Butik Bulgari sekali lagi jadi sasaran perompak, rugi berpuluh juta ringgit


Sekumpulan lelaki bersenjata merompak barang kemas bernilai jutaan pound di sebuah butik Bulgari yang terletak bersebelahan bangunan Kementerian Kehakiman di Paris.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 30 April 2023, ia merupakan kejadian rompakan yang kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.


Ketika kejadian, tiga lelaki tiba di kedai barang kemas mewah itu di Place Vendome dan melakukan rompakan di siang hari pada petang Sabtu lalu, sambil disaksikan puluhan pelancong dan pejalan kaki sedang melalui kawasan itu.


Menurut sumber penyiasat, dua perompak sedang memegang senapang manakala seorang lagi tertumpu mengisi barang kemas dicuri ke dalam beg.


"Mereka memukul seorang pengawal keselamatan di bahagian kepalanya sehingga menyebabkannya cedera parah.


"Barang kemas dan jam tangan mewah bernilai jutaan pound dirompak dalam kejadian berlaku sekitar pukul 1.45 petang (waktu tempatan). Malah, ia hanya mengambil masa beberapa minit.


"Perompak itu kemudian kembali menunggang dua motosikal mereka dan dengan selamba melarikan diri dari tempat kejadian," katanya.


Rakaman video rompakan tular dalam media sosial menunjukkan lelaki bersenjata tersebut mengenakan topi keledar dan balaclava hitam ketika merompak butik mewah itu.


Sebelum ini, butik Bulgari yang sama menjadi sasaran sekumpulan perompak bersenjata pada September 2021.


Dalam kejadian itu, perompak berjaya melarikan barang kemas bernilai kira-kira 10 juta pound (RM56.01 juta) pada waktu siang.


Bulgari, butik mewah Itali kini dimiliki oleh konglomerat barangan mewah Perancis LVMH yang dikendalikan lelaki terkaya dunia, Bernard Arnault.


Menurut Daily mail, Kedai-kedai barang kemas di Paris semakin kerap diserbu oleh perompak sejak beberapa tahun kebelakang ini, dan rumah selebriti turut menjadi sasaran.


Pada Julai 2022, pencuri melarikan barangan bernilai hampir 2 juta pound dari kedai Chaumet berhampiran Champs-Elysees, dan kedai Dinh Van turut dirompak pada bulan yang sama.


Pada Oktober 2016, lebih daripada 7 juta pound nilai barang kemas telah dicuri selepas bintang TV realiti Amerika Kim Kardashian dirompak oleh sekumpulan lelaki bertopeng di bilik hotelnya di Paris. - Sumber Daily Mail.


Perompak memakai topi keledar dan balaclava hitam ketika merompak butik mewah Bulgari di Paris. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon