Khamis, 20 April 2023

Sedalam 5 kaki, lubang jalan di Britain boleh muatkan lelaki dewasa


Sebatang jalan berlubang dipercayai paling dalam di Britain akhirnya ditimbus selepas merosakkan sebuah kereta BMW dan menyebabkan penghantar makanan jatuh daripada motosikalnya, lapor akhbar Daily Mail pada 19 April 2023.


Jalan berlubang di Rogers Road, London itu menjadi popular selepas seorang lelaki berusia 41 tahun dirakam berdiri di dalamnya dengan hanya kepalanya kelihatan. Lelaki itu mempunyai ketinggian 167.6 sentimeter (lebih 5 kaki).


Menurut lelaki yang masuk ke dalam lubang itu, Dean Hope, dia menganggap tindakannya sebagai satu jenaka, namun tidak bagi pemandu lain.


"Saya tidak akan memandu di atas lubang itu. Kita semua membayar cukai untuk kerosakan seperti ini dibaiki. Jika seseorang terlanggar lubang itu, dia akan cedera," katanya.


Penduduk tempatan meletakkan kon bersebelahan lubang selepas ia runtuh untuk menghalang sesiapa yang mendekatinya, tetapi ia dilaporkan telah menyebabkan kemalangan.


Sementara itu, majlis perbandaran Newham berkata, ia bukan lubang jalan sebaliknya lubang benam yang muncul dalam masa satu malam.


"Mendapan jalan raya boleh berlaku di mana-mana sahaja dan ia agak biasa berlaku di London Timur. Kami telah mengambil tindakan pantas sejurus ia dilaporkan," kata jurucakapnya.


Pada minggu lalu, beberapa kontraktor akhirnya dihantar untuk menimbus lubang tersebut. Menurut majlis perbandaran Newham, kerja pembaikan jalan itu akan selesai pada penghujung April ini.


Salah seorang kontraktor yang bekerja di majlis itu, Paul Morris, 42, berkata: "Sudah tentu ia adalah salah satu jalan berlubang paling teruk yang pernah saya temui. - Sumber Daily Mail.


Lubang ini boleh memuatkan Hope yang mempunyai ketinggian 167.6 sentimeter. - Foto MailOnline.


EmoticonEmoticon