Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk meletup di atmosfera Bumi dan mencetuskan pemandangan luar biasa di langit, lapor akhbar Daily Star pada 20 April 2023.
Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy atau digelar Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina, selain direka khas untuk menghantar kru dan kargo ke orbit Bumi, Bulan, Marikh dan lokasi lain di angkasa lepas.
Roket itu diuji tanpa anak kapal dalam ujian penerbangan tersebut. Ia merupakan ujian penerbangan pertama Starship yang dipasang atas roket baharu syarikat itu, Super Heavy.
Roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa Starship dilancarkan dari tapak pelancaran Starbase di Boca Chica, berdekatan Brownsville, Texas, Amerika Syarikat.
SpaceX sebelum ini menyifatkan kapal angkasa Starship sebagai satu kejayaan dengan mempunyai ketinggian 120 meter, beserta 33 enjin dan 7.5 juta kilogram tujahan.
Siaran langsung menerusi laman sesawang SpaceX menunjukkan roket tersebut berjaya dilancarkan ke udara, dengan iringan sorakan para kakitangannya.
Namun, kira-kira empat minit selepas pelancaran, Starship dilihat gagal dipisahkan dari Super Heavy sebelum roket gabungan itu mula terpesong arah lalu meletup di ruang udara dan terhempas ke perairan Teluk Mexico.
Sementara itu, syarikat SpaceX memaklumkan kapal angkasa itu mencapai ketinggian kira-kira 39 kilometer sebelum meletup.
Jelasnya, roket itu juga mencapai titik pelancaran kritikal tekanan aerodinamik maksimum sebelum hilang kawalan.
Bagaimanapun, pegawai SpaceX mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya. - Sumber Daily Star.
EmoticonEmoticon