Sebuah pesawat American Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas enjinnya terbakar akibat terlanggar kawanan angsa, lapor laman berita Wion News, semalam.
Insiden itu berlaku 25 minit selepas pesawat Boeing 737 itu berlepas dari Ohio awal pagi Ahad, 23 April 2023.
Video kejadian yang tular memaparkan pesawat itu kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa John Glenn di Columbus ketika api muncul dan asap keluar dari bahagian enjin.
Menurut syarikat penyedia data penerbangan, FlightAware, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang tersebut sekitar pukul 7:45 pagi (waktu tempatan) menuju ke Phoenix, Arizona.
Bagaimanapun, sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) iaitu ketika pesawat itu berlegar-legar di kawasan Upper Arlington, juruterbang mendapati sesuatu yang tidak kena pada enjin dan terpaksa berpatah balik.
Pada pukul 8:20 pagi (waktu tempatan), pesawat itu mendarat semula di landasan selatan lapangan terbang yang sama. Anggota bomba dan keselamatan lapangan terbang segera menghampiri pesawat dan berjaya memadamkan kebakaran pada enjin.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada kecederaan di dalam pesawat dan penumpang dibawa ke penerbangan lain yang berlepas pada sebelah pagi.
Sementara itu, Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu. - Sumber Wion News.
EmoticonEmoticon