Bukan sahaja mengugut ingin menyimbah asid, seorang lelaki malah bertindak luar kawalan apabila menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di hadapan Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila beberapa anggota polis didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.
Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit sambil mendakwa mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru ke perkarangan balai polis terbabit.
"Suspek juga membaling satu tin Red Bull ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah.
"Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.
"Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya ditahan dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan.
"Ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine serta suspek pernah mendapat rawatan psikiatri pada tahun 2020, tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 21 April. - Sumber Harian Metro.
EmoticonEmoticon