Ahad, 2 April 2023

Kakitangan pembinaan temukan cincin yang hilang lebih 25 tahun lalu


Graduan Virginia Tech teruja apabila menemui semula cincinnya yang hilang ketika bermain bola tampar di kawasan gelanggang universiti itu lebih 25 tahun yang lalu, lapor laman berita UPI pada 23 Mac 2023.


John Leschinskey, yang merupakan graduan sekolah Blacksburg pada 1997 berkata, dia menyedari tentang kehilangan cincinnya itu selepas bermain bola tampar di Eggleston Quad.


"Saya kerap bermain bola tampar di gelanggang pasir Owens. Saya meletakkan sandal, baju, jam tangan dan cincin saya di tepi tiang supaya saya boleh bermain. Apabila selesai, saya mengumpulkan barang-barang saya dan melihat cincin itu hilang," kata Leschinskey dalam catatan di laman web Virginia Tech.


Leschinskey berkata, dia dan rakan-rakannya sudah mencari di sekeliling kawasan gelanggang ketika itu namun gagal menjumpainya.


"Barang-barang saya ketika itu tidak kelihatan seperti dialihkan, jadi saya menganggap cincin saya sudah dicuri. Saya agak terkilan kerana baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli cincin dengan lambang kolej itu namun kehilangannya beberapa hari kemudian," katanya.


Jurucakap universiti itu berkata, kakitangan pembinaan sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar apabila salah seorang pekerja ternampak objek berkilat tertanam di kawasan berpasir itu.


"Ketika saya sedang menggali kawasan itu, saya terlihat objek seperti cincin. Kami menghentikan operasi untuk melihatnya dengan lebih dekat, dan ternyata benar apa yang kami jangkakan.


"Saya ingin memastikan cincin itu dikembalikan kepada pemiliknya. Terdapat nama John Leschinskey terukir di bahagian dalam, jadi saya mencari nama itu di media sosial," kata pekerja pembinaan, Pat Saylors.


Cincin itu akhirnya dikembalikan kepada Leschinskey yang kini tinggal di North Carolina dan dia mengakui berita penemuan semula cincinnya selepas bertahun lama hilang benar-benar mengejutkan.


"Saya hairan pada mulanya. Saya juga terkejut mendengar daripada mereka. Jarang sekali ada individu yang sanggup bersusah payah mencari pemilik kepada barang berharga yang dijumpai mereka.


"Apabila cincin itu tiba di depan rumah, saya melihatnya dan sukar untuk mempercayai ia akhirnya dikembalikan kepada saya dalam keadaan yang sangat baik. Sangat bersyukur melihat masih ada orang yang jujur dan baik di dunia ini," luah Leschinskey. - Sumber UPI.


Kakitangan pembinaan yang sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar di kampus Virginia Tech menemui cincin milik bekas pelajar yang telah hilang lebih daripada 25 tahun lalu. - Foto courtesy of Virginia Tech.


EmoticonEmoticon