Sabtu, 8 April 2023

Gadis telan telefon bimbit selepas bertengkar dengan abangnya


Seorang gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas dia menelan sebuah telefon bimbit ketika bertengkar dengan saudara lelakinya, lapor akhbar New York Post pada 6 April 2023.


"Pertelingkahan adik-beradik membawa kepada masalah," kata doktor yang terlibat dalam pembedahan itu kepada akhbar The Times of India. Pertengkaran itu berlaku di daerah Bhing, negeri Madhya Pradesh.


Dua beradik itu dilaporkan bergaduh mengenai sebuah telefon bimbit buatan China sebelum gadis itu memutuskan untuk menamatkan pertengkaran dengan menelan peranti mudah alih tersebut.


"Ketika perasaan marah memuncak semasa pertengkaran mereka, dia mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit," kata doktor tersebut.


Menurut doktor, tidak lama selepas itu, gadis itu mengalami sakit perut yang teruk sebelum dibawa oleh keluarganya ke Hospital Jaya Arogya di bandar Gwalior.


Pakar kemudian menjalankan beberapa ujian termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), X-ray dan ultrasound.


Pakar perubatan memutuskan bahawa telefon itu tidak boleh dikeluarkan melalui kaedah yang kurang invasif seperti endoskopi, maka pisau bedah adalah satu-satunya pilihan mereka.


Remaja itu yang memerlukan 10 jahitan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan. Dia dijangka keluar dari hospital tidak lama lagi.


Dr. Kushwah berkata ini adalah kali pertama dia menghadapi kes seperti ini sepanjang 20 tahun kerjayanya sebagai doktor. - Sumber New York Post.


Seorang gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas menelan telefon bimbitnya semasa bergaduh dengan abangnya berhubung peranti tersebut. - Foto Gwalior Medical College.

Pakar bedah menjalankan pembedahan selama dua jam untuk mengeluarkan telefon tersebut. - Foto Gwalior Medical College.


EmoticonEmoticon