Isnin, 10 April 2023

Gadis berumur 14 tahun upah pembunuh upahan bunuh ibu


Seorang ejen hartanah, Anastasia Milosskaya, 38, diserang dan dicekik hingga mati apabila dia pulang ke rumah pada 24 Mac lalu, manakala polis Russia menahan anak perempuan mangsa yang berumur 14 tahun kerana mengupah pembunuh upahan untuk membunuh ibunya, lapor akhbar The Sun pada 2 April 2023 lalu.


Anak perempuannya yang merupakan pelajar sebuah sekolah, dituduh bersekongkol dengan teman lelakinya untuk mengupah pembunuh upahan bagi menyerang dan mencekik ibunya sehingga mati.


Kira-kira 48 jam selepas serangan berlaku, mayat Milosskaya ditemui disembunyikan di dalam tong sampah di Balashikha yang terletak dalam wilayah Moscow.


Sebelum dibunuh, wanita itu telah meminta teman lelaki anak perempuannya supaya keluar dari apartmen mereka kerana bimbang dia memberi pengaruh negatif kepada anak perempuannya.


Pihak berkuasa Russia percaya anak perempuan mangsa mengupah dua remaja lain untuk membunuh ibunya dengan upah 350,000 rubel (RM19,391).


Kesemua tertuduh dan remaja itu berusia antara 14 dan 17 tahun. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.


Kedua-dua pembunuh upahan itu telah ditempatkan di sebuah pusat tahanan juvenil selama sebulan sementara siasatan dijalankan.


Polis berkata, gadis itu dan teman lelakinya berniat untuk hidup dengan menggunakan wang simpanan ibunya berjumlah lebih 2.9 juta rubel (RM164,714).


Seorang rakan gadis itu berkata: "Dia bercakap tentang membenci ibunya berkali-kali, walaupun ibunya adalah orang yang baik yang menyayanginya."


Nenek kepada gadis itu berkata cucunya telah berada di bawah pengaruh budak lelaki itu yang berasal dari "keluarga susah".


Sumber lain berkata, mangsa mengambil berat terhadap anak perempuannya dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupannya. - Sumber The Sun.


Kesemua tertuduh adalah remaja berusia antara 14 dan 17 tahun. - Foto East2West.

Anastasia Milosskaya bersama anak perempuannya. - Foto East2West.


EmoticonEmoticon