Ahad, 9 April 2023

Detik ngeri kereta 'ditelan' lubang benam dipenuhi air mendidih


Orang ramai menyaksikan dengan seram sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan dua kanak-kanak turut berada di dalamnya 'ditelan' sebuah lubang benam yang dipenuhi air panas mendidih, lapor portal berita Daily Mirror pada 6 April 2023.


Empat orang dilaporkan cedera, termasuk seorang daripada dua kanak-kanak yang menaiki SUV itu. Lubang tersebut terbentuk di Jalan Drovyanaya, bandar raya St Petersburg, Russia, pada 5 April.


Menurut laporan tempatan, lubang benam itu muncul selepas paip air panas pecah dan menyebabkan tanah serta asfalt di bawah kenderaan tersebut runtuh.


Dalam kejadian itu, pemandu dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun melecur dan dihantar ke hospital, manakala seorang lagi kanak-kanak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.



Media tempatan menyatakan, salah seorang daripada mereka dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana melecur lebih 30 peratus pada badannya.


"Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital dengan melecur pada bahagian kaki mereka," kata Kementerian Situasi Kecemasan dalam satu kenyataan yang diperoleh Newsflash.


Sebuah video yang dirakam oleh saksi yang tidak dinamakan memaparkan sebuah SUV berwarna putih tenggelam sepenuhnya dalam lubang benam, yang masih mengeluarkan wap.


Kelihatan krew kecemasan berkumpul di tepi, menunggu air panas reda sebelum mereka mula bekerja menyelamatkan kenderaan.


Sebanyak 31 anggota kecemasan dan 11 unit peralatan khas dilaporkan mengendalikan operasi pembersihan besar-besaran, manakala jalan itu ditutup sementara kepada lalu lintas.


Banyak bandar di Russia mempunyai loji pemanasan gergasi yang menyalurkan air panas ke taman perumahan, manakala paip pecah adalah perkara biasa disebabkan infrastruktur yang semakin 'tua'. - Sumber Mirror UK.


Sebuah kenderaan SUV yang turut dinaiki dua kanak-kanak ‘ditelan’ ke dalam sebuah lubang benam di St. Petersburg, pada 5 April lalu. - Foto Newsflash.


EmoticonEmoticon