Ahad, 12 Mac 2023

Pelancong hantar aduan tak tahan ayam berkokok terlalu kuat siang dan malam


Pelancong asing di sebuah kawasan percutian di Bali mengemukakan aduan kepada masyarakat setempat mengenai gangguan bunyi yang mereka alami. Aduan bunyi bising itu adalah mengenai ayam jantan berkokok terlalu kuat setiap pagi.


Walaupun pegawai tempatan telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat susulan terhadap aduan itu, beberapa laporan tempatan menyifatkan petisyen itu sebagai tingkah laku 'pelik' daripada warga asing.


Bagi kebanyakan orang, bunyi ayam jantan berkokok di sebuah kampung di Bali adalah keadaan semulajadi yang sepatutnya 'dinikmati' pelancong yang lari di kesibukan kota. Ini nampaknya tidak berlaku untuk sekumpulan warga asing di kawasan Jimbaran di Kuta Selatan.


Jimbaran ialah kawasan peranginan popular di Bali, rumah kepada komuniti warga asing yang telah bersara yang telah memilih untuk berpindah ke Indonesia untuk menikmati rentak kehidupan pulau pada usia senja mereka.



"Memang benar ada laporan aduan. Kami baru datang dari lokasi untuk menyemak kebenaran laporan itu. Aduan awal adalah daripada tetamu di Hotel Anumana Bay View di Kampung Jimbraran.


"Bukan itu sahaja, pelancong yang menginap di sana juga membuat petisyen kepada kami," kata Ketua Seksyen Keselamatan dan Ketenteraman Daerah Kuta Selatan, I Kadek Agus Alit Juwita, mengesahkan aduan mengenai ayam jantan itu sedang ditangani.


Seorang warga Britain dikenali sebagai William yang menghantar petisyen itu kepada salah seorang pemilik ayam turut menuduh lelaki berkenaan sebagai pelaku judi sabung ayam yang dilarang di Indonesia.


"Dia bela ayam dan melakukan aktiviti sabung yang haram di Indonesia. Lelaki ini memiliki banyak ayam dan berkokok bermula pukul 3 pagi menyebabkan orang lain tidak boleh tidur.


"Saya tawarkan 500,000 rupiah (RM146) kepadanya untuk memindahkan ayam-ayam itu tetapi dia tetap berdegil tidak mahu menerima wang itu," kata William.


Lapor Detik.com, pemilik ayam berkenaan, Wayan Agus Juli, 26, bersikap acuh tak acuh menjawab petisyen sebilangan warga asing yang menetap di Homestay Anumana Bay View di Jimbaran itu.


Wayan mengakui keberatan memindahkan ayam jantannya yang dikurung di dalam sangkar buluh itu kerana haiwan berkenaan dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.


"Saya tidak kisah dengan apa yang mereka katakan. Saya tahu datuk dan nenek saya sudah berada di sini sejak zaman Belanda.


"Mereka jumpa saya di rumah. Tetapi apabila mereka bercakap, hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya tidak faham bahasa Inggeris, jadi saya hanya menjawab yes, no yes no sahaja," tambah Wayan sambil tertawa.


Wayan berkata, ayam-ayam tersebut untuk dijual dan bapanya sebenarnya sanggup mengalihkan ayam peliharaan itu dari kawasan kejiranan tersebut dengan syarat dia diambil bekerja di homestay itu dengan bayaran gaji minimum. - Sumber The Bali Sun.



EmoticonEmoticon