Jumaat, 17 Mac 2023

Pekerja restoran dipukul gara-gara menegur pelanggan ambil lauk dengan tangan


Tindakan tiga lelaki memukul pekerja restoran di Cyberjaya kelmarin kerana berang selepas ditegur mengambil lauk menggunakan tangan memakan diri apabila mereka ditahan pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata susulan laporan diterima daripada pengurus restoran, polis sudah menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.


Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke restoran itu dan ketika berada di bahagian nasi kandar, seorang suspek ambil lauk dengan tangan. Teguran itu membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja terbabit.


"Susulan kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, tular satu video memaparkan kejadian dua lelaki dirakam memukul pekerja sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekecohan dan kerosakan barangan di premis berkenaan.


Wan Kamarul berkata, pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan dirosakkan termasuk pinggan selain banyak lauk tercemar dan terpaksa dibuang.


"Siasatan turut mendapati dua suspek masing-masing pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah," katanya.


Ujar beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar video pekerja restoran dipukul tiga lelaki dipercayai mabuk. - Foto Berita Harian.


EmoticonEmoticon