Jumaat, 17 Mac 2023

Dua rakan diberkas edar dadah berjumlah RM849,192


Dua rakan diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berjumlah RM849,192 dalam empat serbuan di sekitar bandaraya Johor Bahru, Selasa lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 5 petang hingga 9 malam.


Sindiket yang disyaki aktif sejak Disember tahun lalu itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan rumah sewa berpengawal dan berpagar sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah berkenaan.


"Dalam operasi tersebut, polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah, antaranya syabu seberat 21.27 kilogram (kg), serbuk ekstasi (727 gram (g)), ketamin (554 g), pil ekstasi (110 biji), eramin 5 (48 biji) serta magic mushroom (56.30 g).


"Jumlah nilai rampasan dadah adalah RM849,192 dan bekalan dipercayai diseludup dari negara segi tiga emas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.


Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan, iaitu Toyota Vellfire, Proton Saga dan Yamaha LC selain jam tangan, wang tunai tempatan dan Singapura dengan nilai keseluruhan berjumlah RM160,430.


Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif ketamin. Kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.


Jelasnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 15 sehingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Kamarul Zaman menunjukkan antara dadah yang dirampas di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon