Khamis, 9 Februari 2023

Tersalah tekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar


Seorang pelajar sekolah memandu tersalah menekan pedal minyak kereta yang dipandunya sehingga melanggar sebuah bilik mengajar sekolah memandu tersebut dalam kejadian di Pajam, Mantin dekat Seremban pagi tadi.


Pelajar lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan kurang sihat ketika kejadian.


Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Kanan II, Effendi Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di Akademi Memandu Nilai itu pada pukul 10.33 pagi.


"Setibanya di lokasi kami mendapati sebuah kereta sekolah memandu jenis Perodua Axia melanggar sebuah bilik mengajar di situ.


"Bagaimanapun, pelajar sekolah memandu yang merupakan lelaki berusia 26 tahun dan pengajar yang juga seorang lelaki berusia 65 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Namun terdapat dua orang lelaki yang berusia 22 dan 27 tahun yang berada di dalam bilik tersebut cedera di bahagian kaki dan belakang badan akibat kemalangan itu," katanya menurut akhbar Kosmo.


Jelasnya, pihak bomba telah menyerahkan kedua-dua mangsa yang cedera kepada pihak Kementerian Kesihatan yang kemudian telah membawa mereka ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.


Keadaan sebuah kelas mengajar di Akademi Memandu Nilai di Mantin, Nilai, Seremban hari ini yang dirempuh seorang pelajar yang memandu kereta sekolah memandu tersebut.- Foto Bomba.


EmoticonEmoticon