Selasa, 21 Februari 2023

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali


Penduduk ‘kota batu’ purba di selatan Itali dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa selepas serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di pinggir bandar itu, Matera baru-baru ini, lapor akhbar The Guardian pada 19 Februari 2023.


Objek angkasa yang bergerak pada kelajuan 321 kilometer sejam itu dikesan di langit wilayah Puglia dan Basilicata pada 14 Februari lalu, membuatkan ia digelar ‘bebola api Hari Kekasih’.


Ia dikatakan jatuh di balkoni rumah pasangan adik beradik, Gianfranco dan Pino Losignore bersama ibu bapa mereka.


Mereka menyedari keadaan itu apabila melakukan pemeriksaan pada panel solar kediaman tersebut tiga hari kemudian.


Mereka mendapati panel dan jubin telah rosak, bersama dengan serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni.


“Saya tidak berada di rumah ketika ia berlaku, namun ibu saya memberitahu dia ada mendengar bunyi dentuman kuat.


“Dia berasa bimbang, namun disebabkan cuaca berangin, saya menyangkakan bunyi dentuman itu adalah ranting pokok. Rupa-rupanya, ia adalah serpihan meteorit,” kata Gianfranco.


Bebola api meteorit itu dipantau pada kamera pengawasan Prisma, sebuah projek yang dikendalikan oleh Institut Astrofizik Itali, sekali gus membolehkan pakar mengesan lokasi ia jatuh.


Lebih 70 gram serpihan telah dikumpulkan setakat ini untuk kajian tersebut, yang kemudiannya akan dipamerkan di muzium.


Seorang wakil Prisma, Carmelo Falco berkata, meskipun banyak meteorit jatuh ke Bumi, apa yang jarang berlaku di Matera adalah ia mendarat pada permukaan bersih, justeru, objek itu tidak tercemar. - Sumber The Guardian.


Gianfranco menemui serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni rumahnya. - Foto Gianfranco Losignore.


EmoticonEmoticon