Ahad, 5 Februari 2023

Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China


Tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon udara panas China disyaki digunakan untuk mengintip di luar pantai Carolina Selatan. Ia susulan arahan Presiden Joe Biden selepas belon itu melalui tapak sensitif tentera di Amerika Utara, lapor akhbar Arab News hari ini.


Biden mahu belon itu ditembak jatuh pada Rabu tetapi menasihatkan bahawa waktu terbaik untuk melakukannya adalah apabila ia berada di atas lautan, kata pegawai AS.


Pegawai tentera mendapati bahawa jika belon itu ditembak jatuh dari altitud kira-kira 18,000 meter di darat, ia akan memberikan risiko kepada penduduk.


Belon itu yang melintasi ruang udara AS minggu lalu kembali mencetuskan ketegangan antara AS dan China. Ia menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken segera membatalkan kunjungannya ke Beijing yang dijadualkan sebelum ini.


"Mereka berjaya menembak jatuh (belon itu) dan saya mahu memuji juruterbang kita yang melakukannya," kata Biden selepas mendarat dengan pesawat rasmi Air Force One ke Kem David.


Belon gergasi itu dilihat pada pagi Sabtu melintasi Carolina Selatan dan menghampiri pantai Lautan Atlantik. Kehadiran belon itu di ruang udara AS menarik perhatian penduduk negara itu sepanjang minggu lalu.


Pesawat pejuang F-22 kemudian menembak peluru berpandu ke arah belon itu dan menyebabkan ia jatuh di luar pantai berhampiran Pantai Myrtle, Carolina Selatan, menurut pegawai kanan pertahanan.


Di Pantai Myrtle, Carolina Selatan, orang ramai yang memenuhi laluan pantai bersorak ketika peluru berpandu dari pesawat pejuang F-22, menembak belon itu. Belon itu kemudian mengempis dan menjunam ke lautan.


"Itu Tentera Udara kita!" jerit seseorang sejurus selepas belon pengintip terkena tembakan peluru berpandu, dalam video yang diambil oleh pelancong Angela Mosley.


Dalam pada itu, AP melaporkan serpihan belon yang dianggarkan bersaiz tiga buah bas sekolah itu jatuh di kawasan perairan sedalam kira-kira 14 meter, iaitu kawasan yang lebih cetek daripada jangkaan.


Rakaman televisyen menunjukkan berlakunya letupan kuat sebelum belon itu meluncur jatuh ke arah laut. Jet-jet tentera AS turut dilihat terbang di kawasan sekitar selain kapal-kapal dikerahkan ke perairan tersebut bagi melancarkan operasi.


Para pegawai menyasarkan untuk mengatur masa operasi supaya mereka dapat mengumpul sebanyak mungkin serpihan belon yang bertaburan di kawasan seluas kira-kira 11 kilometer sebelum ia tenggelam ke dalam lautan.


Pentagon sebelum ini menganggarkan bahawa mana-mana medan serpihan yang ditemui adalah akan menjadi sesuatu yang amat penting.


Sabtu lalu, pegawai pertahanan dan tentera AS berkata, belon itu memasuki ruang pertahanan udara utara AS di Kepulauan Aleut, Alaska, pada 28 Januari sebelum bergerak melintasi daratan di Alaska.


Ia kemudian melintasi ruang udara Kanada di Wilayah Barat Laut pada Isnin sebelum memasuki semula AS menerusi utara Idaho, pada Selasa.


Belon itu kemudian dilihat di Montana, yang menempatkan Pangkalan Tentera Udara Malmstrom dan tapak itu mempunyai simpanan senjata nuklear.


China bertegas bahawa belon itu adalah untuk kaji cuaca, bukannya untuk mengintip, dan ia terbang ke AS kerana dibawa angin, namun kenyataan itu ditolak Pentagon.


BACA: Pentagon jejaki belon pengintip China, terbang berdekatan pangkalan udara di mana terdapat peluru berpandu nuklear bawah tanah.


Lelaki menggunakan teropong untuk melihat belon udara panas China yang melintasi Carolina Selatan. - Foto Reuters.

Belon udara itu kempis sebelum jatuh di lautan berhampiran Carolina Selatan. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon