Seorang bapa dari Brazil yang dipercayai sebagai lelaki paling banyak mengubah suai rupa paras di dunia kini telah membelah tangannya pula melalui pembedahan baru-baru ini, lapor Mirror UK pada 9 Februari 2023 lalu.
Marcelo B-boy De Souza Ribeiro menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mendapatkan lebih 1,500 lukisan tatu seluruh kulit termasuk alat kemaluannya dan telah menjalani pelbagai pembedahan mengubah wajah dan tubuh badannya.
Kini artis berusia 40 tahun yang mempunyai lebih 75,000 pengikut di laman Instagram itu berkongsi langkah terbarunya untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'.
Ribeiro berpendapat, langkah berani itu adalah yang pertama di dunia bagi memenuhi impiannya untuk kelihatan berbeza dan mahu menjadikan tubuhnya sebagai pameran seni.
"Saya sedang membuat pengubahsuaian baharu yang belum wujud lagi di dunia.
"Saya sudah pun meneliti tentang pengubahsuaian badan di dunia, dan daripada apa yang saya lihat belum ada yang membuat pengubahsuaian yang serupa (tangan syaitan).
"Orang ramai sudah melihat tangan saya dan menganggap ia menarik, tetapi mereka berkata mereka tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.
"Saya gembira dengan apa yang saya lakukan, saya tidak merasakan apa-apa perubahan mengenai mobiliti tangan saya kerana ia benar-benar boleh berfungsi secara normal," katanya.
Dua bulan lalu, lelaki yang berasal dari São Paulo itu, mendapatkan bantuan rakannya yang pakar dalam pengubahsuaian badan ekstrem untuk melaksanakan prosedur tersebut secara percuma.
Selama bertahun-tahun, Marcelo telah membelanjakan kira-kira 29,000 pound (RM151,795) untuk mendapatkan lukisan tatu, gigi logam bertaring, implan kulit dan lidah yang terbelah.
Bapa kepada dua anak dan sudah mempunyai seorang cucu itu menganggarkan 98 peratus daripada tubuhnya telah diubah. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon