Jumaat, 10 Februari 2023

Kerana curi basikal lajak, lelaki didenda RM4,000 atau 6 bulan penjara


Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada 3 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri basikal lajak.


Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Ros, 23.


Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz didapati mencuri basikal lajak berwarna hitam dengan rim sukan putih bernilai RM500 milik Siti Azimah Tajudin, 33, (pengadu) di sebuah rumah di Jalan SB 3, Taman Seri Bertam, Tanjung Minyak, pada 26 Januari lalu, kira-kira 2 pagi.


Justeru dia melakukan kesalahan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


Fakta kes menunjukkan pengadu yang juga peniaga kosmetik mendapati pagar rumahnya terbuka tetapi tiada kesan pecah masuk ketika pulang ke rumah, namun basikal lajak milik anaknya hilang.


Pemeriksaan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopi kemudiannya dicamkan sebagai tertuduh yang mencuri basikal lajak itu, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.


Sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudiannya menangkap tertuduh di Pengkalan Perigi, Tanjong Kling, Melaka, pada 29 Januari lalu.


Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan, namun pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan.


Majistret Sharda kemudian menetapkan tertuduh didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.


Muhammad Hafiz didenda RM4,000 atau 6 bulan penjara atas kesalahan mencuri basikal lajak pada bulan Januari lalu. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon