Sebuah asteroid kecil dinamakan sebagai 2023 CX1 meletup dan menerangi langit malam di Selat Inggeris kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada hari Isnin 13 Februari lalu, lapor akhbar Daily Mail.
Cahaya akibat letusan asteroid 0.91 meter itu dilaporkan dapat dilihat di seluruh selatan England, Wales termasuk di beberapa bahagian di Perancis.
Ia adalah kali ketujuh serpihan batu angkasa berjaya diramalkan lebih awal akan meletus. Pakar-pakar di Pertubuhan Meteor Antarabangsa menjangkakan kejadian itu yang akan mewujudkan kesan bebola api.
Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi Twitter menyatakan, pengesanan lebih awal itu adalah tanda kemajuan pesat dalam pengesanan asteroid global. ESA sebelum ini menyatakan objek tersebut dijangka memasuki atmosfera Bumi di utara Perancis.
2023 CX1 berjaya dikesan oleh seorang ahli astronomi Hungary, Krisztián Sárneczky, di Balai Cerap Konkoly di Pergunungan Mátra, Hungary.
Maklum Sárneczky, pada awalnya dia mendakwa batu itu dikesan berada sekitar 233,000 Kilometer dari orbit bumi dan bulan pada jam 8.18 malam waktu tempatan.
"Ia mula memasuki atmosfera pada awal pagi Isnin pada jam 3 pagi merentasi pantai Normandy, Perancis di sepanjang Selat Inggeris.
"Ketika membelah ruang udara, ia terbakar sehingga dapat dilihat dengan terang dari Utara Perancis, Belgium, Belanda dan United Kingdom," katanya.
Pakar fizik, Mark Boslough dari Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexico, Amerika Syarikat memberitahu portal berita Wales Online bahawa walaupun letusan udara sebesar itu berlaku beberapa kali dalam setahun namun kejadian tersebut jarang ditemui lebih awal. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon