Ahad, 5 Februari 2023

Burung kakak tua 'singgah' di badan doktor menyebabkannya terjatuh, pemilik dipenjara dan denda lebih RM436 ribu


Seorang lelaki Taiwan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda sebanyak 3.04 juta dolar Taiwan (RM436,328) selepas burung kakak tua miliknya yang besar didakwa menyebabkan seorang doktor terjatuh dan cedera, lapor portal Oddity Central pada 2 Februari 2023.


Insiden pelik itu dilaporkan berlaku di Tainan, apabila seorang lelaki bernama Huang membawa dua burung kakak tua spesies macaw peliharaannya terbang bebas di taman awam yang sering menjadi lokasi orang ramai bersenam.


Salah satu daripada burung besar itu dikatakan mendarat di belakang seorang lelaki yang sedang bersenam dan mula mengepakkan sayapnya dengan kuat, menakutkan lelaki itu hingga menyebabkan dia terjatuh.


Insiden itu menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan pada sendi pinggul dan patah tulang pelvis hingga memerlukan kemasukan ke hospital dan tempoh pemulihan yang panjang.


Dia akhirnya menyaman pemilik burung tersebut untuk menuntut ganti rugi. Mangsa dalam kes itu yang hanya dikenali sebagai Dr. Lin memberitahu Mahkamah Daerah Tainan, dia terpaksa menghabiskan masa lebih seminggu di hospital dan tidak dapat bekerja selama lebih setengah tahun akibat kecederaan itu.


Sebagai pakar bedah plastik, dia perlu banyak berjalan untuk melakukan pelbagai prosedur, namun kecederaan itu menyebabkan dia mengalami kerugian kewangan yang serius.


"Dia kini boleh berjalan, tetapi jika dia berdiri lama, masih ada rasa kebas," kata peguam Dr. Lin.


Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan bahawa kemalangan dialami Dr. Lin adalah disebabkan oleh kecuaian Huang.


"Oleh kerana ketinggiannya yang mencecah sekitar 40 sentimeter (sm) dan rentang sayap sehingga 60sm, burung macaw dikategorikan sebagai haiwan besar, jadi pemilik sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kemalangan seperti itu.


"Akibat menyebabkan kecederaan tidak disengajakan itu, Huang dijatuhi hukuman penjara dan denda sebagai pampasan bagi kerugian yang terpaksa ditanggung Dr. Lin," jelas mahkamah.


Pemilik burung itu bagaimanapun merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kerana menganggap pampasan yang dikenakan terlalu tinggi. - Sumber Oddity Central.


Pemilik burung kakak tua di Taiwan didenda dan dipenjara hanya kerana haiwan berkenaan menakutkan seorang lelaki hingga terjatuh. - Foto David Clode/Unsplash.


EmoticonEmoticon