Seorang lelaki di Thailand secara tidak sengaja meninggalkan isterinya di tengah-tengah perjalanan semasa berhenti seketika untuk menggunakan tandas, sekali gus memaksa wanita berkenaan berjalan kaki lebih 19.31 kilometer (km), lapor laman berita NDTV.
Boontom Chaimoon, 55 dan isterinya, Amnuay Chaimoon, 49, melakukan perjalanan dengan sebuah kenderaan pada Ahad lalu untuk menghabiskan cuti di kampung halamannya di wilayah Maha Sarakham.
Pasangan itu berada di dalam kenderaan tersebut sehingga si suami berasa perlu pergi ke tandas. Dia kemudian menghentikan kenderaannya di tepi jalan pada pukul 3 pagi (waktu tempatan).
Bagaimanapun, isterinya turut melangkah keluar dari kereta dan memberanikan diri pergi ke tepi hutan berhampiran untuk membuang air kecil. Si suami yang kembali ke kenderaannya tidak menyedari bahawa si isteri masih belum muncul.
Sejurus kembali ke kenderaan, Amnuay tidak menemui kereta atau suaminya lalu menyedari Boontom telah pergi meninggalkannya bersendirian.
Dia juga tidak membawa telefon bimbitnya kerana ia disimpan di dalam beg yang ditinggal dalam kenderaan tersebut. Memandangkan hari gelap, wanita itu sangat takut dan keliru sebelum memutuskan untuk berjalan kaki bagi mendapatkan bantuan.
Dia berjalan kira-kira 20 km sehingga sampai ke daerah Kabin Buri pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) dan dapat menghubungi polis tempatan yang memintanya menelefon suaminya. Sekitar jam 8 pagi, dia akhirnya dapat menghubungi suaminya.
Menurut Boontom, dia tidak tahu isterinya tiada di dalam kereta, dan beranggapan bahawa isterinya sedang nyenyak tidur di tempat duduk belakang. Pada masa itu, dia telah memandu sehingga ke wilayah Korat, sejauh 159.6 km, lapor laman berita Thailand Daily News.
Apabila dia menyedari apa yang berlaku, dia cepat-cepat berpatah balik memandu semula untuk mengambil pasangannya. Dia sangat menyesal dengan tindakannya dan memohon maaf kepada isterinya.
Walaupun setelah melalui pengalaman pahit itu, wanita itu tidak bertengkar dengannya. Wanita itu mendedahkan mereka telah berkahwin sejak 27 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 26 tahun. - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon