Selasa, 24 Januari 2023

Sangka kawan anak, rupanya pencuri tertidur akibat mabuk


Seorang warga emas terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali yang terbaring di ruang tengah rumahnya di Taman Tanjung, Bahau, Jempol pagi semalam rupanya pencuri yang tidak sempat melarikan barang curi kerana terlelap akibat mabuk.


Mangsa, Sin Kong Men, 66, berkata, ketika kejadian dia seperti biasa bangun dari tidur dan mahu keluar untuk minum pagi seperti biasa di kedai berhampiran kira-kira pukul 6.15 pagi.


Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki terbaring dan seekor anjing berwarna hitam bukan miliknya sedang mengejut lelaki itu dengan menarik bahagian lengan bajunya.


"Saya ingat kawan anak, tapi bila lihat ruang tamu bersepah dan ada beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet jenama Samsung berada bersebelahan dengan lelaki berkenaan, semuanya barangan di dalam rumah ini.


"Saya syak lelaki ini juga telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet almari berkaca di ruang tamu sehingga mabuk dan tertidur. Malah, saya dan anak-anak cuba kejutkan, tapi tidak juga sedar.


"Tak lama kemudian polis sampai dan ambil masa hampir 30 minit untuk kejutkan dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tanjung Bahau, di Jempol, hari ini.


Ujar Kong Men lagi, dia sudah menetap di kawasan berkenaan lebih 12 tahun lalu, namun, kejadian itu baru kali pertama dialaminya dan anjing yang dibelanya juga tidak menyalak seperti kebiasaannya jika ada individu tidak dikenali datang ke rumah.


Menurutnya, kemungkinan anjing berwarna hitam milik lelaki berkenaan telah menyebabkan anjing di rumahnya tidak menyalak seperti biasa.


"Ketika kejadian lebih 10 orang ada di dalam bilik masing-masing kerana semuanya pulang bagi sambutan Tahun Baru Cina dan anak saya pulang pukul 4 pagi juga tidak nampak lelaki berkenaan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.


"Semasa masuk ke dalam rumah suspek dipercayai telah minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur. Semasa pengadu bangun tidur awal pagi, pengadu dapati suspek berbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri.


"Suspek telah ditangkap dan mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan selebihnya jenayah.


"Malah, suspek juga merupakan individu dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya.


Menurutnya lagi, suspek berusia 41 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Kong Men menunjukkan lokasi suspek ditemui. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon