Seorang pekerja restoran warga asing ditemui mati akibat penyakit tibi di dalam bilik hostel penginapannya di Taman Pendamar Indah, Pandamaran, Klang baru-baru ini.
Kejadian melibatkan lelaki berusia 45 tahun itu disedari pengurus restoran berkenaan, kira-kira pukul 8 pagi sebelum polis menerima laporan selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri di asrama tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada 21 Januari lalu, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki warga tempatan mengenai kejadian itu.
Katanya, pengadu seorang pengurus kedai makan mendakwa pada hari yang sama dia mendapati pekerjanya itu tidak sedarkan diri di Hostel Lebuh Pendamar Indah 1, Taman Pendamar Indah.
"Bertindak atas maklumat itu, pihak ambulan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang telah bergegas ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HTAR Klang untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hoong Fong, hasil pemeriksaan, pegawai perubatan telah mengesahkan punca kematian pekerja asing itu adalah disebabkan oleh penyakit Tuberculosis (Tibi).
"Punca kematian lelaki itu disebabkan oleh penyakit tibi dan pernah mendapatkan rawatan di klinik swasta sebelum ini. Tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada anggota badan mangsa," katanya.
Tambah Hoong Fong, kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL). Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh menggugat ketenteraman awam.
EmoticonEmoticon